Monday, May 18, 2009

JURUTERA


Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan melibatkan penggunaan sains fizikal untuk merekabentuk, mengetahui proses pembuatan dan membuat bahagian-bahagian bergerak dalam mesin yang membawa kesan atas setiap aspek kehidupan manusia. Kejuruteraan mekanikal dan pembuatan moden bukan sahaja memerlukan kefahaman menyeluruh mekanik dan bahan tetapi melibatkan juga rekabentuk terbantu komputer yang canggih, model-model dan analisis.


1) Jurutera Mekanikal
Kerjaya Kejuruteraan Mekanikal adalah berhubung dengan kecekapan penggunaan sumber-sumber fizikal dan kemanusiaan bagi memperbaiki taraf hidup manusia. Jurutera Mekanikal menggabungkan pengetahuan asas Sains Fizikal dan Kejuruteraan dengan pengalaman, kebijaksanaan dan pengajian bagi mencipta dan mengendalikan alat-alat dan sistem mekanikal yang kebanyakannya terdapat dalam industri. Jurutera juga merekabentuk alat-alat mekanikal pengeluaran dan proses bagi memberi penyelesaian dalam pengeluaran dan juga penggunaannya. Di samping itu adalah menjadi satu tanggungjawab yang penting bagi penuntut agar mereka dapat membentuk kemahiran mereka sendiri dan menghadapi masalah secara kritikal. Para lulusan jurusan ini berkemampuan memenuhi kekosongan ahli teknologi di sektor kerajaan atau separa kerajaan dan juga di firma swasta. Pemegang Ijazah akan bertugas sebagai Jurutera, membantu dalam perancangan, projek, merekabentuk dan juga pengurusan. Para lulusan boleh bertugas dalam pelbagai perusahaan seperti perkilangan, pemprosesan, pembinaan, merekabentuk, membuat penyelidikan dan pengurusan.

2) Jurutera Bahan
Kerjaya Jurutera Bahan memerlukan seseorang yang mempunyai pengetahuan asas yang mendalam tentang sains dan kejuruteraan bahan dan dapat menghubungkan ciri-ciri, struktur, sifat-sifat, pemprosesan dan prestasi bahan mengikut kegunaan dan permintaannya sesuai dengan perkembangan teknologi. Malah Jurutera Bahan juga terlibat secara langsung dengan aspek pemilihan bahan, kawalan kualiti, analisis kegagalan sesuatu komponen serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R & D) bahan-bahan baru. Setiap produk yang akan dihasilkan, bermula dengan rekabentuk sehinggalah kepada sistem pemprosesan akan menggunakan bahan yang lazimnya terdiri dari logam, polimer, seramik atau komposit. Maka peranan seorang Jurutera Bahan amat penting terutama yang melibatkan pemilihan bahan dan pemprosesan yang sesuai. Peluang pekerjaan graduan dalam jurusan ini amat meluas meliputi industri pembuatan logam dan bukan logam, kawalan kualiti, penyelidikan (R&D), perundingan dan pendidikan. Oleh itu kerjaya di dalam bidang kejuruteraan bahan adalah sangat meluas meliputi semua sektor baik di sektor awam, berkanun mahupun swasta. Ini merangkumi sektor automotif, pembuatan dan pengilangan, pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan, perkhidmatan dan perundingan, industri petroleum dan petrokimia, elektronik dan semikonduktor sehinggalah kepada industri aeroangkasa. Bagi menuju kepada sebuah negara perindustrian, peranan Jurutera Bahan amatlah penting terutama sekali di dalam penghasilan bahan-bahan termaju.

3) Jurutera Industri
Kejuruteraan Industri adalah tentang pembaikan dan pemasangan sistem berintegrasi yang melibatkan manusia, bahan dan peralatan. Ianya memerlukan pengetahuan khusus dan kecekapan dalam sains fizikal dan sosial berserta dengan prinsip dan kaedah analisis kejuruteraan serta rekabentuk untuk menentukan, meramalkan dan menilai hasil yang boleh didapati daripada sesuatu sistem. Ini menunjukkan bahawa untuk menggunakan pendekatan kejuruteraan seseorang Jurutera Industri harus mempunyai latar belakang Matematik dan keupayaan menganalisis yang terdapat dalam bidang kejuruteraan. Tanpa ini mereka tidak mempunyai keupayaan yang cukup untuk menyelesaikan masalah semasa dalam industri. Pelajaran kejuruteraan asas ini harus dikembangkan dengan pengetahuan tentang faktor-faktor manusia (human factor), termasuk psikologi, sosiologi, fiziologi dan sebagainya. Sebagai menyempurnakan pelajaran kejuruteraan industri, hakikat ini harus dibantu dengan pemahaman operasi organisasi industri, kos dan daya pengeluaran, yang menjadi asas sebarang aktiviti industri. Sebagaimana yang dilihat daripada penerangan pelajaran kejuruteraan industri di atas ternyata bahawa ianya adalah bersifat antara disiplin (interdisciplinary) dan boleh digunakan di dalam sebarang tempat atau keadaan di mana kos daya pengeluaran adalah penting. Justeru itu graduan kejuruteraan pembuatan dan kejuruteraan industri boleh diambil bekerja oleh kedua-dua industri pengeluaran (kecil, sederhana dan besar) dan industri perkhidmatan (kerajaan, pelajaran, kewangan, bank, kesihatan dan sebagainya).

4) Jurutera Pembuatan
Jurutera Pembuatan melibatkan bidang teknologi dan pengurusan serta berkemampuan untuk menentukan faktor-faktor yang terlibat dalam proses penghasilan komoditi. Kejuruteraan pembuatan juga adalah satu bidang kejuruteraan mengenai perencanaan, pengurusan dan pengawalan dalam industri. Ianya lebih menjurus pada peningkatan fungsi-fungsi kejuruteraan dan pengurusan pengeluaran. Kerjaya ini merangkumi semua aspek ciri-ciri proses pengeluaran hinggalah pada peringkat polisi pengeluaran ditentukan. Ia menitikberatkan setiap aspek pengeluaran samada teknikal, ekonomi dan manusia. Seorang Jurutera Pembuatan memerlukan pengetahuan berbentuk "inter-disciplinary" seperti Jurutera Industri juga. Penekanan yang lebih berat adalah ditumpukan oleh Jurutera Pembuatan terhadap Teknologi Pembuatan berbanding dengan apa yang dilakukan oleh Jurutera Industri yang menumpukan lebih banyak perhatian terhadap sistem pengeluaran industri atau kilang.

5) Jurutera Automotif
Jurutera Automotif juga adalah satu bidang kejuruteraan yang dapat memenuhi keperluan tenaga mahir di dalam bidang automotif. Keperluan ini kian meningkat disebabkan oleh pertambahan perusahaan automotif di Malaysia seperti Proton, Perodua, Naza dan lain-lain syarikat pemasangan automotif. Para lulusan jurusan ini boleh menjawat jawatan sebagai Jurutera dalam perusahaan automotif dalam bidang R&D, kualiti, pengeluaran, keselamatan dan lain-lain.

6) Jurutera Profesional
Jurutera Profesional merupakan pengiktirafan tertinggi bagi jawatan jurutera. Lulusan ijazah ini adalah diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan mereka boleh memohon menjadi ahli Jurutera Profesional dalam bidang mekanikal atau pembuatan. Jurutera Profesional dalam bidang mekanikal mestilah mempunyai pengalaman yang cukup dalam kejuruteraan mekanikal seperti jururunding mekanikal dalam pembinaan (kerja-kerja mekanikal), dandang, lif, pengurusan dan sebagainya. Manakala Jurutera Profesional dalam bidang pembuatan mestilah mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam bidang pembuatan industri. Para lepasan ijazah perlulah berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia bagi memperolehi taraf Jurutera Profesional. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineer Malaysia, BEM) atau Institut Jurutera Malaysia (Institute of Engineer Malaysia, IEM)

No comments: